Kanser rahim adalah kanser yang kedua paling
penting di dalam organ reproduktif wanita selepas kanser pangkal rahim. Mengikut data dari Statistik Kanser Kebangsaan 2003,
kadar kejadian kanser rahim adalah 6.9 di dalam 100,000 populasi. Kadar kejadian kanser rahim tidak setinggi di negara-negara
Barat. Di negara-negara Barat seperti Amerika, Kanser Rahim adalah kanser wanita yang paling utama selepas kanser payudara.
Di Malaysia insiden kanser rahim adalah paling
tinggi di kalangan wanita yang berusia 60-69 tahun dengan kadar 29.7 di dalam
100,000 populasi. Ianya didapati lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbangsa
Cina dan India jika dibandingkan dengan wanita berbangsa Melayu.
APA ITU KANSER RAHIM
Rahim adalah organ reproduktif yang berfungsi
sebagai tempat membesarnya janin ataupun kandungan. Rahim merupakan organ berbentuk buah pear dan terdiri dari bahagian badan
(”uterine body”) dan bahagian pangkal rahim ( serviks). Sempadan yang memisahkan bahagian badan rahim dan pangkal
rahim adalah dipanggil istmus (lihat rajah). Bila disebut kanser rahim ianya merujuk kepada kanser yang terjadi ataupun berasal
dari bahagian badan rahim.
Terdapat dua bahagian utama badan rahim iaitu
selaput dinding rahim ataupun endometrium dan dinding rahim yang terdiri dari 3 lapisan otot dan stroma.
Kanser rahim terbahagi kepada beberapa kumpulan
berdasarkan asal usul kanser itu (lihat rajah 16):
- Kanser yang berasal dari selaput dinding rahim dinamakan Kanser Endometrium
- Kanser
yang berasal dari otot dinding rahim dinamakan Liomiosarkoma (Leiomyosarcoma)
- Kanser yang berasal dari kedua-dua komponen
selaput dan dinding rahim dinamakan Karsinosarkoma (”Carcinosarcoma”)
- Kanser
yang berasal dari stroma selaput rahim yang dinamakan ”Endometrial stromal sarcoma”
RISIKO
MENGHIDAP KANSER ENDOMETRIUM
Kejadian kanser endometrium mempunyai kaitan
yang rapat dengan pengedaran serta kandungan hormon wanita yang dipanggil estrogen. Wanita-wanita yang mempunyai kandungan
hormon estrogen yang tinggi samada diperolehi dari dalam badan mereka sendiri ataupun dari ubat-ubatan yang diambil dari luar
boleh terdedah kepada kemungkinan menghidap kanser endometrium.
Berikut adalah faktor-faktor risiko terjadinya
kanser endometrium
a. Kegemukan,
wanita yang gemuk mempunyai simpanan hormon estrogen yang tinggi terutama
di lapisan lemak badan.
b.
Wanita yang sukar mendapatkan anak ataupun mandul.
c.
Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi
d.
Wanita yang menghidap penyakit kencing manis
e.
Wanita yang mempunyai keturunan kanser wanita .
f.
Wanita yang mengambil ubat hormon Tamoxifen untuk rawatan kanser payudara juga risiko menghidap kanser endometrium.
Walau bagaimanapun manafaat yang diperolehi dari mengambil ubat ini lebih besar dari mudharat kemungkinan mengidap kanser
rahim.
g.
Wanita yang mengambil hormon estrogen yang berpanjangan. Wanita yang putus
haid perlu mengambil hormon estrogen untuk memulihkan kesihatan badan mereka. Walau bagaimanapun jika sekiranya mereka masih lagi mempunyai rahim, hormon estrogen ini
perlu
diambil bersama hormon progesteron. Kadar kejadian kanser rahim akan menjadi
tinggi jika sekiranya
mereka mengambil hormon estrogen sahaja. Wanita yang ingin mengambil hormon selepas putus haid perlu mendapat
pandangan Pakar Sakitpuan.