Make your own free website on Tripod.com

KANSER DAN WANITA

Pencegahan Kanser Wanita
Halaman Utama
Mengenai Kami
Unit Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah . Perkhidmatan yang disediakan
MAKLUMAT LENGKAP KANSER WANITA
Kanser Wanita: Apa yang anda perlu tahu
Pencegahan Kanser Wanita
Rawatan Radioterapi dan Kemoterapi : Apa yang perlu anda tahu
RAWATAN PALIATIF: Apabila kanser tidak ada harapan sembuh
BUKU KANSER WANITA
BUKU HAID
Hubungi kami

Ketahuilah kaedah pencegahan kanser wanita

Pencegahan Kanser Pangkal Rahim 
 

KANSER SERVIKS (PANGKAL  RAHIM) BOLEH DICEGAH

Kanser serviks (pangkal rahim) adalah salah satu jenis kanser yang boleh dicegah. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kurang pengetahuan di kalangan wanita terutama wanita-wanita di negara kurang maju dan yang sedang membangun, kadar kejadian kanser serviks masih lagi tinggi. Di negara-negara maju , kadar kejadian dan kematian akibat kanser serviks adalah lebih rendah disebabkan oleh kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan oleh wanita-wanita di sana. Kunci kepada pencegahan kanser serviks adalah Pap Smear. Secara keseluruhannya kadar kesedaran wanita di Malaysia adalah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang memuaskan.

APAKAH PAP SMEAR

Pap Smear adalah ujian yang dijalankan melalui kaedah mengambil sampel atau calitan dari serviks. Pap smear adalah ujian yang sangat mudah dan tidak menyakitkan. Ianya boleh dilakukan di mana-mana klinik yang mempunyai peralatan ujian pap smear. Ianya tidak memerlukan bius dan pengambilan pap smear cuma memakan masa 2-3 minit sahaja.

BAGAIMANA PAP SMEAR BOLEH MENCEGAH  KANSER SERVIKS (PANGKAL RAHIM).

Sebelum terjadinya kanser serviks, sel-sel di kulit serviks akan melalui beberapa siri perubahan di mana sel-sel tersebut menjadi tidak normal dari segi saiz, rupa bentuk dan juga susunan sel. Sel-sel yang tidak normal ini bermula dari dalam lapisan kulit serviks.  Punca perubahan sel-sel di bahagian kulit serviks ini adalah akibat jangkitan sejenis virus yang dinamakan “Human Papilloma Virus” ataupun singkatan kepada HPV. Pra-kanser serviks adalah merujuk kepada peringkat di mana sel-sel yang tidak normal ini masih berada di dalam lapisan kulit serviks dan belum lagi merebak keluar .  Peringkat para-kanser bukanlah kanser dan rawatannya juga berbeza dengan rawatan kanser. Peringkat pra-kanser ini jika tidak dikesan dan dirawat boleh bertukar menjadi kanser. Tujuan utama ujian pap smear adalah untuk menyaring dan mengesan peringkat pra-kanser ini. Hasil dari pengesanan ini, rawatan yang sesuai akan dapat dilakukan. Apabila peringkat pra-kanser ini dirawat, maka wanita tersebut tentu sekali akan terhindar dari mendapat penyakit kanser pangkal rahim. Inilah caranya bagaimana pap smear dapat mengurangkan kadar kejadian kanser serviks.  

APAKAH  PRA-KANSER PANGKAL RAHIM (SERVIKS)

Pra-kanser serviks ataupun dalam istilah perubatan “ Pre-cancerous state“ adalah keadaan di mana terjadinya sel-sel yang tidak normal di dalam lapisan kulit serviks. Di antara ciri-ciri kelainan yang terdapat pada sel-sel tersebut adalah saiz nukleas yang lebih besar, warna nukleas yang lebih hitam pekat dan terdapatnya proses pembiakan yang diluar kawalan. Sel-sel yang tidak normal ini walau bagaimanapun tidak terdapat di bahagian luar kulit serviks. Peringkat pra-kanser ini kalau tidak dirawat, sebahagiannya boleh bertukar menjadi sel-sel kanser.  Pra-kanser bukanlah kanser tetapi adalah petanda-petanda awal untuk menjadi kanser di kemudian hari.

Terdapat tiga peringkat pra-kanser di pangkal rahim iaitu:

a. CIN 1

b. CIN 2

c. CIN 3

Di dalam istilah perubatan pra-kanser ini dinamakan CIN singkatan kepada “Cervical Intraepithelial Neoplasm”. CIN 1 adalah peringkat pra-kanser yang paling awal. Peringkat ini selalunya akan pulih dengan sendiri tanpa rawatan, dikatakan 60% daripada wanita-wanita yang mengidap CIN 1 akan pulih sepenuhnya dan cuma sebahagian kecil sahaja yang akan berkembang menjadi CIN 2 dan CIN 3. Manakala CIN 3 pula adalah pra-kanser yang paling serius. Setiap CIN boleh berubah-ubah samada kembali normal , bertukar kepada peringkat CIN yang lain ataupun ianya boleh kekal untuk jangkamasa tertentu. Perubahan dari satu peringkat ke peringkat yang lain memakan masa dari beberapa bulan sehingga beberapa tahun. Ini bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis CIN , faktor genetik, jenis virus HPV dan juga sistem pertahanan badan wanita.

Kajian telah menunjukkan bahawa lebih kurang 12% dari CIN 3 akan menjadi kanser pangkal rahim jika sekiranya tidak dirawat. Tempoh masa pertukaran daripada CIN 3  menjadi kanser pangkal rahim ini adalah di dalam lingkungan 5 hingga 15 tahun, jarak masa ini adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain.

Untuk mengetahui dengan lebih terperinci berkenaan dengan pap smear dan Vaksin HPV ? Sila klik di sini.

Pencegahan Kanser Payudara
 

BAGAIMANA MENCEGAH KANSER PAYUDARA

PENGETAHUAN. Pengetahuan yang cukup mengenai kanser payudara adalah amat penting dan merupakan langkah pertama dalam usaha mencegah kanser payudara. Setiap wanita perlu mengetahui apa itu kanser payudara, cara merebak, komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku dan bagaimana ianya dikesan. Dengan pengetahuan ini, wanita-wanita akan lebih berhati-hati dan akan berjumpa dengan doktor lebih awal untuk pemeriksaan.

PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA. Pemeriksaan sendiri payudara secara berkala adalah penting untuk mengesan sebarang kelainan kepada payudara wanita.

PEMERIKSAAN KLINIKAL PAYUDARA. Di samping melakukan sendiri pemeriksaan buah dada, wanita-wanita juga digalakkan mendapatkan pemeriksaan dari petugas-petugas perubatan termasuk doktor dan jururawat yang terlatih. Wanita-wanita yang berusia 20 tahun ke atas digalakkan mendapat pemeriksaan klinikal payudara 3 tahun sekali sehingga berusia 40 tahun. Selepas 40 tahun, mereka digalakkan mendapat pemeriksaan setahun sekali.

UJIAN MAMOGRAFI Ujian mamografi adalah ujian X-Ray ke atas payudara. Ia merupakan salah satu kaedah saringan untuk mengesan kemungkinan kanser payudara. Kaedah mamografi adalah kaedah saringan yang paling utama untuk kanser payudara. Kajian menunjukkan Ujian mamografi ke atas wanita-wanita berusia lebih 40 tahun telah dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser payudara sebanyak 18% . Walau bagaimanapun mamografi bukanlah 100% berkesan, kajian menunjukkan mamografi gagal mengesan kanser payudara di dalam lingkungan 10-15% daripada jumlah kanser payudara. Wanita hendaklah faham bahawa mamografi adalah ujian saringan untuk memilih wanita yang memerlukan pemeriksaan dan ujian lanjut.

 

Pencegahan Kanser Rahim
 

Di antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

a. Mendapat pemeriksaan awal doktor jika sekiranya mendapat tanda-tanda kelainan pada kitaran  haid terutama wanita-wanita yang sudah putus haid.

b. Rawatan hormon untuk pesakit-pesakit yang menghidap sindrom ”Polycystic Ovarian Syndrome”.

c. Rawatan segera untuk peringkat pra-kanser rahim yang dipanggil Endometrial Hyperplasia .

d. Bagi wanita-wanita yang mengambil ubat Tamoxifen untuk kanser payudara, perlu mendapat pemeriksaan segera jika sekiranya mengalami perdarahan yang tidak normal.

e. Wanita-wanita yang putus haid (menopos) yang mengambil hormon gantian (HRT) perlu  memastikan mengambil hormon yang betul. Wanita yang putus haid dan masih mempunyai

rahim, perlu mengambil gantian hormon yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progesterone. Wanita-wanita yang berhajat untuk mengambil hormon gantian perlu menemui doktor Pakar Ginekologi untuk mendapat khidmat nasihat dan kaunseling yang tepat tentang hormon  gantian.

f. Kanser endometrium dikaitkan dengan kegemukan jadi senaman yang tetap dan pemakanan yang seimbang serta kurang kandungan lemak mungkin dapat mengurangkan risiko kanser rahim.

Pencegahan Kanser Ovari
 

Di antara amalan-amalan dan kaedah yang boleh membantu mencegah kanser ovari adalah seperti berikut:

a. Meningkatkan pengetahuan berkenaan dengan kanser wanita terutama tanda-tanda dan gejala-gejala awal kanser ovari. Dapatkan pemeriksaan segera jika mengalami tanda-tanda dan gejala-gejala tersebut.

b. Mengamalkan penyusuan ibu boleh mengurangkan risiko mengidap kanser ovari.

c. Pengambilan ubat perancang keluarga boleh mengurangkan risiko kanser ovari sebanyak 30-60%.

d. Wanita yang berkahwin lambat dan terlalu menghadkan bilangan anak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidap kanser ovari berbanding dengan wanita yang mempunyai anak lebih ramai.

e. Elakkan dari mengambil ubat penyubur yang dinamakan Clomiphene citrate untuk jangkamasa lebih dari 12 bulan. Sila dapatkan nasihat doktor pakar sakitpuan ataupun doktor pakar reproduktif.

f. Wanita-wanita dan ahli keluarga terdekat yang disyakki mempunyai penyakit keturunan kanser iaitu ”Hereditary Breast-Ovarian Carcinoma syndrome” perlu menemui doktor pakar kanser untuk mengenalpasti risiko setiap ahli keluarga. Doktor Pakar dapat mengira kemungkinan wanita-wanita ini untuk menghidap kanser ovari.

JIKA ANDA MAHU MENGETAHUI DENGAN LEBIH TERPERINCI BAGAIMANA CARA UNTUK MENCEGAH KANSER WANITA SILA KLIK PAPARAN INI

Enter supporting content here

Kanser Wanita