Make your own free website on Tripod.com

KANSER DAN WANITA

Rawatan Radioterapi dan Kemoterapi : Apa yang perlu anda tahu
Halaman Utama
Mengenai Kami
Unit Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah . Perkhidmatan yang disediakan
MAKLUMAT LENGKAP KANSER WANITA
Kanser Wanita: Apa yang anda perlu tahu
Pencegahan Kanser Wanita
Rawatan Radioterapi dan Kemoterapi : Apa yang perlu anda tahu
RAWATAN PALIATIF: Apabila kanser tidak ada harapan sembuh
BUKU KANSER WANITA
BUKU HAID
Hubungi kami

Ruangan ini akan memberi peluang kepada anda untuk mengetahui dengan lebih terperinci bagaimana rawatan radioterapi dan kemoterapi diberikan. 

RAWATAN RADIOTERAPI

 

PENDAHULUAN

 

Rawatan radioterapi adalah salah satu kaedah rawatan kanser yang sangat penting. Radioterapi bukan saja penting untuk rawatan kanser wanita tetapi juga kanser-kanser lain. Tidak semua kanser boleh dirawat dengan pembedahan ataupun kemoterapi. Rawatan radioterapi adalah salah satu rawatan yang menggunakan sinaran-X yang berkuasa tinggi ataupun bahan radioaktif untuk membunuh sel-sel kanser. Bab ini akan membincangkan kaedah rawatan radioterapi khusus untuk kanser organ reproduktif wanita terutamanya kanser pangkal rahim, kanser rahim dan kanser payudara. Rawatan radioterapi untuk kanser-kanser yang melibatkan organ-organ badan yang lain mempunyai kaedah yang berbeza walaupun mempunyai asas yang sama.

 

BAGAIMANA RADIOTERAPI BERTINDAK KE ATAS SEL-SEL KANSER

 

Secara amnya terdapat dua jenis radiasi yang sering digunakan untuk tujuan rawatan radioterapi iaitu :

 

  1. Sinaran X-Ray berkuasa tinggi ( asas penghasilannya adalah sama seperti X-ray biasa tetapi ianya mempunyai kuasa yang lebih tinggi) , sinaran ini dihasilkan melalui hentaman kuat elektron di luar nukleus. Sinaran X-Ray berkuasa tinggi ini dikeluarkan oleh alat yang dinamakan Linear Accelerator dan rawatan yang diberikan dinamakan “External Beam Radiotherapy” ataupun EBRT.
  2. Sinaran Gamma (“Gamma ray”). Sinaran gamma dikeluarkan oleh bahan radioaktif. Penggunaan sinaran gamma digunakan di dalam rawatan Brakiterapi.

APAKAH FUNGSI RAWATAN RADIOTERAPI

 

Rawatan radioterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan radioterapi adalah seperti berikut :

A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser.

B. RADIOTERAPI ADJUVAN. Kaedah rawatan radioterapi ini diberikan untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan pembedahan. Rawatan Radioterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan ( “Adjuvant Radiotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan Radioterapi selepas rawatan pembedahan radikal histerektomi untuk kes kanser pangkal rahim. Pakar Kanser akan menentukan samada pesakit memerlukan rawatan radioterapi adjuvan.

C. RADIOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan radioterapi (“Neoadjuvant Radiotherapy”) ini adalah untuk mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan  menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim dan kanser payudara.

D. RADIOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan Radioterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan Radioterapi Paliatif ( “Palliative Radiotherapy”). Contoh rawatan ini adalah kepada pesakit kanser payudara ataupun kanser-kanser lain yang merebak ke tulang belakang dan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan ataupun lumpuh. Contoh lain adalah rawatan ke atas kanser yang merebak ke bahagian otak. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan memulihkan lumpuh. Rawatan radioterapi paliatif ini cuma diberikan pada bahagian yang menjadi penyebab kesakitan ataupun kelumpuhan sahaja. Kanser di bahagian lain badan tidak akan dirawat kerana ianya sudah tidak dapat disembuhkan lagi.

 

UNTUK MENGETAHUI DENGAN LEBIH TERPERINCI SEMUA ASPEK RAWATAN RADIOTERAPI SILA KLIK DI SINI.

RAWATAN KEMOTERAPI

 

MEMAHAMI KEMOTERAPI

 

Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering diberikan kepada pengidap kanser adalah ubat kemoterapi. Bab ini disediakan untuk membantu anda, keluarga anda dan rakan-rakan anda memahami kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda. Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan fizikal dan emosi, anda mungkin juga akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa kepada orang lain. Dengan memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas sel-sel yang normal dan tidak normal dalam diri anda, diharap anda akan lebih tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu sentiasa berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.

 

APAKAH ITU KEMOTERAPI

 

Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang khusus untuk merawat sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan anda. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran darah anda dan pergi ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau di musnahkan oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat digunakan, ia dipanggil kemoterapi kombinasi.

 

BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK

 

Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti contohnya ubat Paclitaxel yang digunakan untuk merawat banyak jenis kanser. Ubat kemoterapi ini dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa kategori ubat kemoterapi yang mempunyai perbezaan dari segi bagaimana ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser. Secara amnya semua ubat-ubat kemoterapi mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak mengganggu atau merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan cara merosakkan DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti mengikat (“cross-linking”) ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini maka sel-sel kanser ini akan mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser yang cepat membiak. Kadangkala ubat ini tidak dapat membezakan di antara sel-sel kanser dan sel-sel normal yang juga cepat membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ reproduktif terutamanya ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel sum-sum tulang. Sel-sel ini mungkin terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah rawatan yang terancang dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat diminimakan malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat sementara.

 

APAKAH FUNGSI RAWATAN KEMOTERAPI

 

Rawatan kemoterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah seperti berikut :

A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser. Contoh rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama adalah di dalam kes kanser anggur ataupun koriokarsinoma.

B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan pembedahan. Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan ( “Adjuvant chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah menjalani rawatan pembedahan.

C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan kemoterapi ini adalah untuk mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan akan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim dan kanser ovari.

D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan kemoterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan Kemoterapi Paliatif ( “Palliative Chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan penyumbatan saluran buah pinggang dan menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi bengkak (“hydroureter, hydronephrosis”). Pesakit akan menghadapi masalah sakit pinggang dan jangkitan buah pinggang. Biji kelenjar yang besar ini juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan menyebabkan kesakitan bahagian belakang. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif ini tidak bertujuan untuk menyembuhkan penyakit kanser pesakit tetapi untuk mengurangkan penderitaan akibat kesakitan.

 

UNTUK MENGETAHUI MAKLUMAT TERPERINCI RAWATAN KEMOTERAPI TERMASUK PANDUAN BAGAIMANA ANDA MENGHADAPINYA SILA KLIK DI SINI

Enter content here

Enter content here

Enter supporting content here

Kanser Wanita