KANSER DAN WANITA

Kanser Anggur atau Koriokarsinoma

Halaman Utama
Mengenai Kami
Unit Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah . Perkhidmatan yang disediakan
MAKLUMAT LENGKAP KANSER WANITA
Kanser Wanita: Apa yang anda perlu tahu
Pencegahan Kanser Wanita
Rawatan Radioterapi dan Kemoterapi : Apa yang perlu anda tahu
RAWATAN PALIATIF: Apabila kanser tidak ada harapan sembuh
BUKU KANSER WANITA
BUKU HAID
Hubungi kami

Petikan dari buku Kanser Wanita

KEHAMILAN MOLAR

 

PENDAHULUAN

 

Kanser anggur ataupun di dalam istilah perubatan dinamakan Koriokarsinoma (”Choriocarcinoma”) adalah sejenis kanser yang jarang berlaku tetapi ianya boleh dirawat dengan rawatan kemoterapi. Kanser anggur adalah salah satu spektrum di dalam penyakit yang dikategorikan sebagai ”Gestational Trophoblastic Diseases (GTD)”. ”Gestational” adalah istilah perubatan yang bermaksud kehamilan manakala ”Trophoblast” adalah merujuk kepada uri ataupun plasenta. Dengan perkataan lain, penyakit GTD ini adalah penyakit yang mempunyai kaitan yang rapat dengan ketumbuhan yang terhasil dari proses kehamilan yang tidak normal melibatkan uri ataupun plasenta.

 

GTD boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan 4 kategori yang utama adalah :

 

1. Kehamilan Molar/Anggur

2. Invasif mol (”invasive mole”)

3. ”Placenta site throphoblastic tumour”

4. Koriokarsinoma (Choriocarcinoma)

 

Jenis pertama iaitu kehamilan Molar/Anggur adalah yang paling kerap berlaku tetapi ianya bukan kanser dan hampir semua pesakit akan dapat dipulihkan sepenuhnya dengan rawatan. Manakala jenis 2 hingga ke 4 merupakan kanser yang memerlukan rawatan seperti mana rawatan-rawatan kanser yang lain.

 

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, buku ini hanya akan menerangkan mengenai Kehamilan Molar/Anggor dan Koriokarsinoma sahaja kerana kedua-dua keadaan ini adalah jenis GTD yang paling utama dan perlu diketahui oleh setiap wanita.

 

KEHAMILAN MOLAR/ANGGUR

 

Perkataan anggur digunakan kerana rupa bentuk ketumbuhan yang dihasilkan oleh persenyawaan yang tidak normal ini menyerupai buah anggur (sila lihat rajah 73).

Istilah yang lebih tepat untuk jenis kehamilan ini adalah kehamilan molar (”molar pregnancy”) jadi untuk keterangan selanjutnya istilah kehamilan molar akan digunakan sebagai ganti kehamilan anggur.

Kehamilan molar tidak dikategorikan sebagai kanser dan punca kejadian kehamilan molar ini adalah disebabkan oleh kelainan yang berlaku semasa proses persenyawaan di antara sperma (benih lelaki) dan ovum (benih wanita). Akibat dari persenyawaan yang tidak normal ini maka terbentuklah kehamilan molar.

 

Kita tahu bahawa persenyawaan benih lelaki dan wanita akan menghasilkan embrio dan embrio ini akan dibawa melalui tiub falopian dan bergerak ke arah dinding rahim. Seterusnya embrio akan melekat pada selaput dinding rahim dan akan membesar menjadi bayi atau janin di dalam kandungan. Walau bagaimanapun di dalam kes kehamilan molar, tidak terjadi janin tetapi digantikan oleh ketumbuhan yang berbentuk seperti gugusan anggur ataupun kelihatan seperti buih ataupun sista-sista kecil.

KANSER ANGGUR ATAU KORIOKARSINOMA                           (”CHORIOCARCINOMA”)

 

Istilah koriokarsinoma adalah istilah yang lebih tepat digunakan untuk kanser jenis ini, ”korio” adalah istilah yang diambil dari vili korionik (”chorionic villi”) iaitu salah satu komponen uri manusia. Istilah karsinoma pula merujuk kepada kanser yang berasal dal sel-sel epitelial. Disebabkan kanser ini mempunyai atau berasal dari salah satu komponen uri atau plasenta maka salah satu ciri khusus kanser ini adalah ia boleh menghasilkan hormon HCG (”Human Chorionic Gonadotrophin”) yang sangat tinggi malah lebih tinggi daripada wanita-wanita yang hamil. Penyakit koriokarsinoma boleh berlaku kepada sesiapa yang pernah hamil termasuk kepada wanita-wanita yang pernah mengalami kehamilan molar. Tidak seperti kehamilan molar, koriokarsinoma boleh berlaku di mana-mana organ badan seperti hati, limpa, paru-paru, tulang belakang dan otak. Koriokarsinoma  boleh juga terjadi di dinding rahim. Koriokarsinoma adalah sejenis kanser yang agresif tetapi sangat sensitif kepada ubat kemoterapi menjadikannya salah satu kanser yang boleh sembuh sepenuhnya. Koriokarsinoma boleh merupakan salah satu komplikasi jangkapanjang kehamilan molar. Walau bagaimanapun kemungkinan berlakunya komplikasi ini adalah sangat kecil di mana cuma 2-3 peratus sahaja kes koriokarsinoma berlaku selepas kehamilan molar.

 

Koriokarsinoma boleh berlaku bila-bila masa dari beberapa bulan sehingga beberapa tahun selepas sebarang kehamilan samada kehamilan normal, keguguran ataupun kehamilan luar rahim. Koriokarsinoma yang berlaku beberapa tahun selepas kehamilan normal dikatakan jenis yang paling agresif.

 

TANDA-TANDA DAN GEJALA-GEJALA KORIOKARSINOMA

 

Memandangkan koriokarsinoma boleh berlaku di mana-mana sahaja organ badan maka pesakit yang menghidap kanser jenis ini boleh mengalami berbagai-bagai tanda dan gejala.

 

Berikut adalah di antara gejala-gejala dan tanda-tanda yang mungkin dialami oleh pesakit koriokarsinoma:

a. Batuk berdarah dan sesak nafas

b. Sakit kepala dan lumpuh sebelah badan

c. Sakit tulang belakang

d. Ketumbuhan dan perdarahan di bahagian faraj.

e. Bengkak perut dan kuning mata

f. Hilang selera makan dan turun berat badan

 

Faktor yang paling penting yang  memastikan pesakit ini menghidap koriokarsinoma adalah kandungan hormon HCG (”Human Chorionic Gonadotrophin”) di dalam badan mereka. Jadi ujian darah bagi mengukur hormon HCG ini adalah satu kemestian jika sekiranya doktor mengesyaki koriokarsinoma.

UNTUK MENGETAHUI DENGAN LEBIH TERPERINCI MENGENAI KEHAMILAN MOLAR DAN KANSER ANGGUR ATAU KORIOKARSINOMA SILA KLIK PAPARAN INI.

Enter supporting content here

Kanser Wanita