RAWATAN KEMOTERAPI
MEMAHAMI KEMOTERAPI
Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering diberikan
kepada pengidap kanser adalah ubat kemoterapi. Bab ini disediakan untuk membantu anda, keluarga anda dan rakan-rakan anda
memahami kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda. Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan
fizikal dan emosi, anda mungkin juga akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa kepada orang lain. Dengan
memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas sel-sel yang normal dan tidak normal dalam diri anda, diharap anda akan lebih
tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu
sentiasa berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.
APAKAH ITU KEMOTERAPI
Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan
yang khusus untuk merawat sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk
melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan anda. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran
darah anda dan pergi ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau di musnahkan
oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat digunakan, ia dipanggil kemoterapi kombinasi.
BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK
Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser.
Ubat kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti contohnya ubat Paclitaxel yang digunakan untuk
merawat banyak jenis kanser. Ubat kemoterapi ini dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa kategori ubat kemoterapi
yang mempunyai perbezaan dari segi bagaimana ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser. Secara amnya semua ubat-ubat kemoterapi
mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak mengganggu atau merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan
cara merosakkan DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti mengikat (“cross-linking”)
ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini maka sel-sel kanser ini akan mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser yang cepat membiak. Kadangkala ubat ini tidak dapat membezakan di antara sel-sel kanser dan sel-sel normal yang
juga cepat membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ reproduktif terutamanya ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel
sum-sum tulang. Sel-sel ini mungkin terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah rawatan yang terancang
dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat diminimakan malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat sementara.
APAKAH FUNGSI
RAWATAN KEMOTERAPI
Rawatan kemoterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah seperti
berikut :
A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser. Contoh rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama adalah di dalam kes kanser anggur
ataupun koriokarsinoma.
B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya
rawatan pembedahan. Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan
( “Adjuvant chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah
menjalani rawatan pembedahan.
C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan kemoterapi ini adalah untuk
mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan akan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan
ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim dan kanser ovari.
D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan kemoterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang
sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan Kemoterapi Paliatif ( “Palliative Chemotherapy”). Contoh rawatan
ini adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan
penyumbatan saluran buah pinggang dan menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi bengkak (“hydroureter,
hydronephrosis”). Pesakit akan menghadapi masalah sakit pinggang dan jangkitan buah pinggang. Biji kelenjar yang besar
ini juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan menyebabkan kesakitan bahagian belakang. Tujuan rawatan adalah
untuk mengurangkan kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif ini tidak bertujuan untuk menyembuhkan
penyakit kanser pesakit tetapi untuk mengurangkan penderitaan akibat kesakitan.